Monday, May 19, 2008
Ketuanan Rakyat!!
Penggunaan ketuanan Melayu dan Ketuanan Rakyat pada hemat saya adalah definisi istilah yang diguna dalam konteks yang berbeza, namun dalam konteks di Malaysia kedua-duanya digunakan dan sedang diaplikasikan sekarang ini sekalipun. Pada hemat saya selagi kita menggunakan demokrasi ala Raja berpelembagaan kedua-dua istilah ini tetap diguna dalam konteks dualism. Ketuanan Melayu dengan Raja-raja Melayu sebagai ketua yang tidak diganggu gugat oleh sistem demokrasi sekalipun. Sebagai contoh sama ada BN menang atau PR menang Raja adalah tetap raja dan tiada siapa yang boleh mencabar. Raja berada di luar gelanggang sebagai pemberi anugerah kepada sesiapa yang menang dalam pertandingan di dalam gelanggang.Sedangkan ketuanan rakyat jelas adalah menunjukkan sistem demokrasi pada bahagian yang lain dalam konteks Malaysia. ini bermaksud rakyat merupakan tuan dalam negara demokrasi, mereka yang menentukan siapa yang berhak untuk menjadi ketua mereka. Sebab itu, dalam konteks demokrasi, ketua yang dipilih oleh rakyat sewajarnya tidak boleh sombong dan bongkak kerana mereka dipilih oleh rakyat. begitu juga harta negara adalah harta rakyat melalui kutipan cukai dan hasil bumi negara dan bukanlah harta milik orang yang dipilih oleh rakyat. Justeru, dalam konteks ini jelas sebenarnya rakyatlah tuan dan pemimpin adalah hamba kepada rakyat. Ini kerana rakyat yang memilih dan rakyat yang mewakilkan harta mereka untuk digagihkan secara amanah untuk kesejahteraan mereka kembali. Satu contoh yang paling mudah difahami seperti seorang kaya yang memilih seseorang untuk mewakilinya bagi menjalankan perniagaannya. Orang kaya itu berhak memilih siapa yang dikehendakinya, kemudian dibuat perjanjian mulut atau penjanjian rasmi bagi melaksanakan tanggungjawab orang diwakilkan itu. sudah tentu orang kaya adalah tuan sedangkan orang diwakilkan walaupun dia mengurus siang dan malam, tetap harta yang diuruskan adalah harta orang kaya tersebut. harta dia hanyalah gaji yang diberikan oleh orang kaya tersebut. Pada masa ini, jika orang orang diwakili sudah mula naik tocang dan menggunakan harta tuannya tanpa amanah, rasuah, pecah amanah, khianat dan menganggap harta tuannya seperti hartanya sendiri. pada masa ini adakah orang kaya itu dianggap bersalah jika membuang orang diwakilkan itu dan digantikan dengan orang lain yang lebih telus, amanah, berdidikasi dan bertakwa.Berdasarkan contoh di atas, dalam konteks negara demokrasi, rakyat adalah ketua yang memilih dan memiliki harta negara sedangkan orang yang dipilih yang diberi nama dengan YB, Tan Sri, Datuk atau sebagainya sebenarnya hamba kepada orang yang memilih mereka. Adakah salah bagi tuan (rakyat) untuk membuang hambanya yang dah naik tocang, menggunakan harta rakyat macam harta sendiri, boros, tidak amanah, khianat kepada bangsa, agama, budaya dan bahasa rakyatnya, sombong, bongkak, pengrasuah, kronisme, nepotisme dan bermacam-macam lagi. Sebab itu kedua-dua istilah "ketuanan Melayu dan Ketuanan Rakyat" adalah diguna dalam konteks negara kita yang disayangi ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment